Persoalan demi persoalan sering bermain di kepala ibu bapa yang
mempunyai anak yang bermasalah pendengaran. Masalah pendengaran di kalangan
golongan kecil ini menuntut proses rawatan dan habilitasi yang berbeza daripada
golongan dewasa.
Keperluan mereka adalah berbeza
daripada golongan dewasa kerana seseorang kanak-kanak yang bermasalah
pendengaran akan mengalami kesukaran untuk belajar pertuturan-bahasa dan
kemahiran berkomunikasi dan persekitarannya. Secara tidak langsung kesukaran
ini menjurus kepada masalah sosial akibat kesukaran berkomunikasi dengan orang
lain, dan kemerosotan prestasi akademik kanak-kanak ini. Namun begitu,
kanak-kanak bermasalah pendengaran yang dikenalpasti pada awal usia dan
dipasangkan dengan alat bantu pendengaran yang sesuai, beserta latihan terapi
pertuturan yang konsisten mempunyai peluang berkomunikasi dalam dunia verbal.
BAGAIMANA MASALAH PENDENGARAN
BOLEH BERLAKU DI KALANGAN KANAK-KANAK?
Dianggarkan seramai satu hingga
empat daripada 1000 orang kanak-kanak dilahirkan dengan masalah pendengaran.
Ada juga masalah pendengaran yang terjadi selepas kelahiran, akibat sesetengah
penyakit, trauma (hentakan kuat pada kepala), dan ubat-ubatan ototoksik
(berbahaya kepada telinga).
Masalah pendengaran yang terjadi
sejak lahir boleh disebabkan oleh masalah-masalah semasa ibu mengandung dan
melahirkan bayi itu. Faktor keturunan turut menyumbang ke arah terjadinya
masalah pendengaran sebegini. Walaubagaimanapun pada kebiasaannya, sukar untuk
menentukan faktor penyebab khusus kepada masalah ini.
Terdapat beberapa faktor risiko
masalah pendengaran yang perlu diberi perhatian oleh ibu bapa. Antara faktor
risiko ini ialah genetik, penyakit berjangkit yang dihadapi semasa ibu
mengandung (contohnya rubella atau sifilis), lahir tidak cukup bulan dan berat
badan semasa kelahiran kurang daripada 1.5 kilogram, bantuan oksigen melebihi
lima hari dan demam kuning yang memerlukan tranfusi darah. Bayi-bayi yang
dilahirkan dengan sindrom-sindrom seperti Down’s atau Usher’s turut berisiko
untuk mengalami masalah pendengaran.
APAKAH ITU MASALAH PENDENGARAN?
Istilah ‘masalah pendengaran’
atau ‘kurang pendengaran’ digunakan apabila seseorang individu tidak
bertindakbalas kepada bunyi-bunyi yang dikategorikan sebagai tahap pendengaran
normal semasa ujian pendengaran dijalankan. Kurang pendengaran tidak bermakna
seseorang itu tidak dapat mendengar langsung. Terdapat beberapa tahap masalah
pendengaran: tahap ringan, sederhana, teruk dan sangat teruk.
Masalah pendengaran ringan atau
sederhana sukar untuk disedari oleh ibu bapa. Masalah tahap ini kadangkala
hanya disedari apabila kanak-kanak mula memasuki alam persekolahan, selalunya
apabila kanak-kanak didapati kurang memberi perhatian terhadap pengajaran guru
di dalam kelas. Masalah pendengaran tahap teruk dan sangat teruk lebih mudah
disedari oleh ibu bapa. Bagaimanapun, tanpa bantuan alat bantu pendengaran dan
rehabilitasi pendengaran, kanak-kanak dengan masalah pendengaran tahap sebegini
tidak mampu untuk memperolehi kemahiran Bahasa dan pertuturan serta
berkomunikasi seperti kanak-kanak yang berpendengaran normal.
MENGAPA PERLU PENGESANAN AWAL?
Lebih awal masalah pendengaran dikenalpasti,
lebih tinggi peluang untuk kanak-kanak bermasalah pendengaran memperolehi
kemahiran komunikasi yang normal atau hampir normal. Bayi yang dilahirkan
dengan masalah pendengaran terutamanya pada peringkat teruk, tidak dapat
mendengar input-input bunyi daripada persekitarannya. Dunia pendengarannya
hanya bermula apabila telah dipakaikan dengan alat bantu pendengaran. Oleh itu,
diagnosis dan pemakaian alat bantu pendengaran perlu dilakukan seawal mungkin
agar bayi ini tidak ketinggalan daripada mendengar bunyi-bunyi persekitaran
yang sangat penting sebagai langkah awal proses perolehan bahasa dan
pertuturan. Tiada usia terlalu awal untuk seseorang bayi dipakaikan alat bantu
pendengaran. Untuk makluman pembaca, ada bayi yang telah dipakaikan dengan alat
bantu pendengaran seawal usia tiga bulan.
UJIAN APA YANG SESUAI DILAKUKAN
TERHADAP KANAK-KANAK?
Jenis ujian pendengaran yang
dilakukan berbeza-beza mengikut peringkat umur kanak-kanak. Ujian saringan
pendengaran selalunya dilakukan terhadap bayi-bayi yang baru lahir. Dua ujian
yang selalu dilakukan ialah pancaran otoakustik (otoacoustic emissions- OAE) dan respons auditori batang otak (automated auditory brainstem response – AABR).
Kedua-dua ujian OAE dan AABR tidak menyakitkan bayi dan mengambil masa kurang
daripada lima minit. Ujian-ujian ini boleh dilakukan seawal lapan jam selepas
kelahiran.
Bayi-bayi yang tidak lulus ujian saringan pendengaran atau bayi-bayi yang lebih enam bulan perlu dirujuk untuk ujian OAE dan ABR diagnostik. Ujian diagnostik lebih spesifik dan dapat memberi informasi tahap masalah pendengaran agar Audiologis dapat membuat perancangan untuk pengurusan masalah pendengaran yang sesuai.
Ujian audiometri dilakukan
terhadap kanak-kanak yang lebih dewasa (lebih dua tahun dan boleh memahami
arahan Audiologis) untuk menentukan tahap pendengaran kanak-kanak ini. Ujian
audiometri sebegini diubahsuai mengikut keperluan kanak-kanak dan dinamakan
sebagai audiometri permainan atau Play Audiometry.
Semasa ujian ini, bunyi-bunyi pada frekuensi dan intesiti yang berlainan akan
diperdengarkan kepada kanak-kanak melalui fon kepala. Seperti namanya, respons
kanak-kanak terhadap bunyi yang diberikan adalah dalam bentuk permainan yang
terancang.
APAKAH YANG DITUNJUKKAN OLEH
UJIAN PENDENGARAN?
Keputusan bagi ujian pendengaran
akan direkodkan ke dalam audiogram yang mengandungi dua jenis maklumat penting,
frekuensi (kebolehan mendengar nada bunyi daripada rendah ke tinggi) dan
desibel (intensiti bunyi daripada sangat perlahan ke sangat kuat).
Rajah di bawah menunjukkan tahap
pendengaran dan kebolehan mendengar pada tahap-tahap yang berlainan. Ini adalah
satu panduan umum kepada ibu bapa tentang kemahiran pendengaran yang diperolehi
anak-anak.


No comments:
Post a Comment