Meningkatkan tahap kesedaran awam terhadap kepentingan deria pendengaran
Deria pendengaran merupakan deria yang
sangat penting untuk seseorang manusia. Pendengaran telah terbentuk seawal tujuh
bulan usia bayi di dalam kandungan ibunya. Manusia ialah makhluk sosial.
Fitrahnya, manusia perlu hidup dalam kumpulan dan berkomunikasi di antara satu
sama lain. Pendengaran yang baik akan memastikan keperluan komunikasi ini
(bercakap dan berinteraksi bersama) dapat dipenuhi.
Tapi, sedarkah kita? Deria pendengaran
kerap kali dipandang remeh. Sesetengah masyarakat menganggap masalah pendengaran
ialah perkara semulajadi yang seiring dengan peningkatan usia, sehingga ramai
yang tidak ambil peduli. Di sini kita silap! Ada saja warga tua yang mempunyai
pendengaran yang bagus sehingga hujung usia. Pokok pangkalnya, penjagaan
pendengaran perlu bermula daripada awal. Kita tidak mahu disebabkan masalah pendengaran,
individu tersebut mengalami isolasi sosial, yang kelak akan menjurus kepada
masalah lain yang melibatkan mental dan emosi, seperti kemurungan. Mereka ini
juga berisiko untuk mengidap penyakit dementia.
Gaya hidup kini, telah mendedahkan kita
kepada bunyi bising berterusan. Kita biasa tahu, terdapat kebisingan yang
sangat tinggi di dalam sektor perkilangan. Tahukah anda? Bunyi bising harian
juga turut berpotensi untuk merosakkan pendengaran. Contohnya bunyi trafik di
tepi jalan, kebiasaan mendengar muzik di pod telinga dengan kadar suara yang
sangat kuat, dan hobi menembak.
Di InnoHear, kami secara konsisten membuat
aktiviti kesedaran masyarakat awam tentang pentingnya menjaga pendengaran sejak
awal usia. Program saringan pendengaran bayi baru lahir yang kami lakukan di
hospital, memerlukan kami untuk memberi penerangan dari A hingga Z kepada bakal
ibu dan bapa. Contohnya bagaimana telinga dan pendengaran berkembang, dan
kenapa perlu pastikan pendengaran normal daripada lahir. Kami juga akan jawab
segala persoalan yang mungkin diajukan oleh ibu bapa ini.
Melalui program Sedar Dengar, team InnoHear
aktif membuat ceramah kesedaran pendengaran dan program saringan pendengaran di
tempat-tempat awam, mengikut jemputan organisasi yang berminat. Saringan
pendengaran dewasa juga sentiasa kami tawarkan secara percuma semasa program-program
ini berlangsung. Selain itu, team InnoHear melawat masjid-masjid yang terlibat
dengan kursus asas haji, untuk berkongsi tentang keperluan pendengaran yang
baik untuk menjalani ibadah, terutamanya untuk menunaikan haji.
Dengan adanya program #sedardengar InnoHear
ini, kami berharap agar kesedaran awam tentang pendengaran akan meningkat.
Semoga masyarakat awam lebih peka dengan faktor-faktor masalah pendengaran.
Sekurang-kurangnya mereka yang mungkin terasa mereka atau ahli keluarga terdekat
ada masalah, tahu di mana untuk mencari maklumat atau bantuan selanjutnya.
#innohear #sedardengar #hearingawareness
