Monday, 21 September 2020

Sedar Dengar Bersama InnoHear

Meningkatkan tahap kesedaran awam terhadap kepentingan deria pendengaran

 


Deria pendengaran merupakan deria yang sangat penting untuk seseorang manusia. Pendengaran telah terbentuk seawal tujuh bulan usia bayi di dalam kandungan ibunya. Manusia ialah makhluk sosial. Fitrahnya, manusia perlu hidup dalam kumpulan dan berkomunikasi di antara satu sama lain. Pendengaran yang baik akan memastikan keperluan komunikasi ini (bercakap dan berinteraksi bersama)  dapat dipenuhi.

 

Tapi, sedarkah kita? Deria pendengaran kerap kali dipandang remeh. Sesetengah masyarakat menganggap masalah pendengaran ialah perkara semulajadi yang seiring dengan peningkatan usia, sehingga ramai yang tidak ambil peduli. Di sini kita silap! Ada saja warga tua yang mempunyai pendengaran yang bagus sehingga hujung usia. Pokok pangkalnya, penjagaan pendengaran perlu bermula daripada awal. Kita tidak mahu disebabkan masalah pendengaran, individu tersebut mengalami isolasi sosial, yang kelak akan menjurus kepada masalah lain yang melibatkan mental dan emosi, seperti kemurungan. Mereka ini juga berisiko untuk mengidap penyakit dementia.

 

Gaya hidup kini, telah mendedahkan kita kepada bunyi bising berterusan. Kita biasa tahu, terdapat kebisingan yang sangat tinggi di dalam sektor perkilangan. Tahukah anda? Bunyi bising harian juga turut berpotensi untuk merosakkan pendengaran. Contohnya bunyi trafik di tepi jalan, kebiasaan mendengar muzik di pod telinga dengan kadar suara yang sangat kuat, dan hobi menembak.

 

Di InnoHear, kami secara konsisten membuat aktiviti kesedaran masyarakat awam tentang pentingnya menjaga pendengaran sejak awal usia. Program saringan pendengaran bayi baru lahir yang kami lakukan di hospital, memerlukan kami untuk memberi penerangan dari A hingga Z kepada bakal ibu dan bapa. Contohnya bagaimana telinga dan pendengaran berkembang, dan kenapa perlu pastikan pendengaran normal daripada lahir. Kami juga akan jawab segala persoalan yang mungkin diajukan oleh ibu bapa ini.

 

Melalui program Sedar Dengar, team InnoHear aktif membuat ceramah kesedaran pendengaran dan program saringan pendengaran di tempat-tempat awam, mengikut jemputan organisasi yang berminat. Saringan pendengaran dewasa juga sentiasa kami tawarkan secara percuma semasa program-program ini berlangsung. Selain itu, team InnoHear melawat masjid-masjid yang terlibat dengan kursus asas haji, untuk berkongsi tentang keperluan pendengaran yang baik untuk menjalani ibadah, terutamanya untuk menunaikan haji.

Dengan adanya program #sedardengar InnoHear ini, kami berharap agar kesedaran awam tentang pendengaran akan meningkat. Semoga masyarakat awam lebih peka dengan faktor-faktor masalah pendengaran. Sekurang-kurangnya mereka yang mungkin terasa mereka atau ahli keluarga terdekat ada masalah, tahu di mana untuk mencari maklumat atau bantuan selanjutnya.

 

Hotline InnoHear: 017-638 7247

#innohear #sedardengar #hearingawareness 



 

 

 

 

 

No comments:

Post a Comment