Wednesday, 3 June 2020

APA YANG IBU BAPA PERLU TAHU TENTANG MASALAH PENDENGARAN - I




Persoalan demi persoalan sering bermain di kepala ibu bapa yang mempunyai anak yang bermasalah pendengaran. Masalah pendengaran di kalangan golongan kecil ini menuntut proses rawatan dan habilitasi yang berbeza daripada golongan dewasa.

Keperluan mereka adalah berbeza daripada golongan dewasa kerana seseorang kanak-kanak yang bermasalah pendengaran akan mengalami kesukaran untuk belajar pertuturan-bahasa dan kemahiran berkomunikasi dan persekitarannya. Secara tidak langsung kesukaran ini menjurus kepada masalah sosial akibat kesukaran berkomunikasi dengan orang lain, dan kemerosotan prestasi akademik kanak-kanak ini. Namun begitu, kanak-kanak bermasalah pendengaran yang dikenalpasti pada awal usia dan dipasangkan dengan alat bantu pendengaran yang sesuai, beserta latihan terapi pertuturan yang konsisten mempunyai peluang berkomunikasi dalam dunia verbal.


BAGAIMANA MASALAH PENDENGARAN BOLEH BERLAKU DI KALANGAN KANAK-KANAK?

Dianggarkan seramai satu hingga empat daripada 1000 orang kanak-kanak dilahirkan dengan masalah pendengaran. Ada juga masalah pendengaran yang terjadi selepas kelahiran, akibat sesetengah penyakit, trauma (hentakan kuat pada kepala), dan ubat-ubatan ototoksik (berbahaya kepada telinga).

Masalah pendengaran yang terjadi sejak lahir boleh disebabkan oleh masalah-masalah semasa ibu mengandung dan melahirkan bayi itu. Faktor keturunan turut menyumbang ke arah terjadinya masalah pendengaran sebegini. Walaubagaimanapun pada kebiasaannya, sukar untuk menentukan faktor penyebab khusus kepada masalah ini.

Terdapat beberapa faktor risiko masalah pendengaran yang perlu diberi perhatian oleh ibu bapa. Antara faktor risiko ini ialah genetik, penyakit berjangkit yang dihadapi semasa ibu mengandung (contohnya rubella atau sifilis), lahir tidak cukup bulan dan berat badan semasa kelahiran kurang daripada 1.5 kilogram, bantuan oksigen melebihi lima hari dan demam kuning yang memerlukan tranfusi darah. Bayi-bayi yang dilahirkan dengan sindrom-sindrom seperti Down’s atau Usher’s turut berisiko untuk mengalami masalah pendengaran.


APAKAH ITU MASALAH PENDENGARAN?

Istilah ‘masalah pendengaran’ atau ‘kurang pendengaran’ digunakan apabila seseorang individu tidak bertindakbalas kepada bunyi-bunyi yang dikategorikan sebagai tahap pendengaran normal semasa ujian pendengaran dijalankan. Kurang pendengaran tidak bermakna seseorang itu tidak dapat mendengar langsung. Terdapat beberapa tahap masalah pendengaran: tahap ringan, sederhana, teruk dan sangat teruk.

Masalah pendengaran ringan atau sederhana sukar untuk disedari oleh ibu bapa. Masalah tahap ini kadangkala hanya disedari apabila kanak-kanak mula memasuki alam persekolahan, selalunya apabila kanak-kanak didapati kurang memberi perhatian terhadap pengajaran guru di dalam kelas. Masalah pendengaran tahap teruk dan sangat teruk lebih mudah disedari oleh ibu bapa. Bagaimanapun, tanpa bantuan alat bantu pendengaran dan rehabilitasi pendengaran, kanak-kanak dengan masalah pendengaran tahap sebegini tidak mampu untuk memperolehi kemahiran Bahasa dan pertuturan serta berkomunikasi seperti kanak-kanak yang berpendengaran normal. 


MENGAPA PERLU PENGESANAN AWAL?

Lebih awal masalah pendengaran dikenalpasti, lebih tinggi peluang untuk kanak-kanak bermasalah pendengaran memperolehi kemahiran komunikasi yang normal atau hampir normal. Bayi yang dilahirkan dengan masalah pendengaran terutamanya pada peringkat teruk, tidak dapat mendengar input-input bunyi daripada persekitarannya. Dunia pendengarannya hanya bermula apabila telah dipakaikan dengan alat bantu pendengaran. Oleh itu, diagnosis dan pemakaian alat bantu pendengaran perlu dilakukan seawal mungkin agar bayi ini tidak ketinggalan daripada mendengar bunyi-bunyi persekitaran yang sangat penting sebagai langkah awal proses perolehan bahasa dan pertuturan. Tiada usia terlalu awal untuk seseorang bayi dipakaikan alat bantu pendengaran. Untuk makluman pembaca, ada bayi yang telah dipakaikan dengan alat bantu pendengaran seawal usia tiga bulan.


UJIAN APA YANG SESUAI DILAKUKAN TERHADAP KANAK-KANAK?

Jenis ujian pendengaran yang dilakukan berbeza-beza mengikut peringkat umur kanak-kanak. Ujian saringan pendengaran selalunya dilakukan terhadap bayi-bayi yang baru lahir. Dua ujian yang selalu dilakukan ialah pancaran otoakustik (otoacoustic emissions- OAE) dan respons auditori batang otak (automated auditory brainstem response – AABR). Kedua-dua ujian OAE dan AABR tidak menyakitkan bayi dan mengambil masa kurang daripada lima minit. Ujian-ujian ini boleh dilakukan seawal lapan jam selepas kelahiran.



Bayi-bayi yang tidak lulus ujian saringan pendengaran atau bayi-bayi yang lebih enam bulan perlu dirujuk untuk ujian OAE dan ABR diagnostik. Ujian diagnostik lebih spesifik dan dapat memberi informasi tahap masalah pendengaran agar Audiologis dapat membuat perancangan untuk pengurusan masalah pendengaran yang sesuai.

Ujian audiometri dilakukan terhadap kanak-kanak yang lebih dewasa (lebih dua tahun dan boleh memahami arahan Audiologis) untuk menentukan tahap pendengaran kanak-kanak ini. Ujian audiometri sebegini diubahsuai mengikut keperluan kanak-kanak dan dinamakan sebagai audiometri permainan atau Play Audiometry. Semasa ujian ini, bunyi-bunyi pada frekuensi dan intesiti yang berlainan akan diperdengarkan kepada kanak-kanak melalui fon kepala. Seperti namanya, respons kanak-kanak terhadap bunyi yang diberikan adalah dalam bentuk permainan yang terancang.


APAKAH YANG DITUNJUKKAN OLEH UJIAN PENDENGARAN?

Keputusan bagi ujian pendengaran akan direkodkan ke dalam audiogram yang mengandungi dua jenis maklumat penting, frekuensi (kebolehan mendengar nada bunyi daripada rendah ke tinggi) dan desibel (intensiti bunyi daripada sangat perlahan ke sangat kuat).

Rajah di bawah menunjukkan tahap pendengaran dan kebolehan mendengar pada tahap-tahap yang berlainan. Ini adalah satu panduan umum kepada ibu bapa tentang kemahiran pendengaran yang diperolehi anak-anak.



Hotline InnoHear: +6017 638 7247

#innohear #sedardengar #newbornhearingscreening #hearinginchildren #premiumhearingaidsmadeaffordable

No comments:

Post a Comment